Resipi Ayam Buttermilk

Ayam Buttermilk? Macam susah je… Sebenarnya tak susah pon. Ayam Buttermilk ni sangatlah mudah untuk anda buat walaupon nama dia agak ‘omputih’ sikit.

Kini anda tak perlu lagi makan di kedai, boleh buat sendiri je. Resipi Ayam buttermilk ni sangatlah mudah dan sedap!

Anak-anak anda pasti suka sebab teksturnya yang lemak berkrim dan mempunyai aroma yang sungguh menggoda.

Tak percaya? Cubalah dulu…

Masa memasak: 35 minit

Jumlah hidangan: 4 orang

Bahan-bahan

  • Isi ayam 400g
  • 2 ulas bawang putih (dicincang)
  • 4 tangkai daun kari
  • 2 batang cili api (dihiris)
  • Tepung jagung secukupnya (boleh juga guna tepung Bestari)
  • 300 mL susu segar (atau susu cair)
  • 1 sudu besar Mentega
  • Garam
  • Gula
  • Serbuk perasa

Cara-cara

  1. Ayam dipotong dadu. Jangan terlalu kecil dan jangan terlalu besar. Sedang-sedang sahaja.
  2. Masukkan ayam ke dalam bekas dan gaulkan dengan tepung jagung (atau tepung Bestari) sehingga rata. Gaul sehingga semua ayam disaluti tepung.
  3. Ambil kuali dan panaskan minyak. Goreng isi ayam tadi sehingga garing.
  4. Setelah garing, angkat dan toskan.
  5. Gunakan kuali lain dan panaskan mentega.
  6. Setelah mentega cair, masukkan bawang putih, daun kari dan cili.
  7. Setelah bahan tumisan kelihatan garing, boleh masukkan susu segar (atau susu cair).
  8. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. Jika anda menggunakan tepung Bestari, letak sedikit sahaja garam kerana tepung Bestari sudah mengandungi garam. Gaul sehingga sebati.
  9. Akhir sekali, masukkan ayam yang telah digoreng tadi.
  10. Kacau dan biarkan sekejap sehingga ayam dan kuah menjadi sebati.
  11. Padamkan api dan angkat. Ayam Buttermilk sedia untuk dihidang dan dinikmati.
Ayam Buttermilk

Resipi yang saya kongsikan diatas adalah hidangan untuk 3 hingga 4 orang. Ayam Buttermilk ini sangat enak jika dinikmati semasa panas bersama nasi putih.

Bau harum butter yang ditumis bersama bawang putih dan daun kari pasti buat anda seisi keluarga lapar!

Anda juga boleh menggantikan ayam dengan udang atau sotong. Kedua-duanya sangat enak jika dimasak buttermilk.

Komen dan Ulasan