Resipi Ayam Masak Hitam

Dah lama tak pergi kenduri kendara ni rindu pula nak makan ayam masak hitam. Biasanya ayam masak hitam ni dihidangkan semasa kenduri kahwin bersama nasi minyak kan?

Teringin pula nak makan lauk ayam masak hitam harini. Haritu ada terjumpa seorang sahabat kongsikan resipi Ayam Masak Hitam ni.

Saya suka masakkan Ayam Masak Hitam untuk anak-anak menggunakan resipi ini kerana resipi ini tidak menggunakan santan.

Jadi masakan tahan lebih lama dan tidak cepat basi. Anak-anak pon suka kerana tidak pedas dan sangat enak!

Saya kongsikan resipi ayam masak hitam dibawah.

Masa memasak: 30 minit

Jumlah hidangan: 4 orang

Bahan-bahan

  • ½ ekor ayam
  • 4 sudu besar minyak masak
  • sehelai daun pandan
  • 4 tangkai daun kari
  • Rempah tumis (kayu manis,pelaga, bunga lawang)
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 2 sudu besar serbuk jintan putih
  • 7-10 tangkai cili kering (dikisar halus)
  • kicap manis
  • 3 sudu besar tomato puree
  • 1 biji bawang besat (dikisar kasar)
  • 1 biji tomato (dihiris kasar)
  • 3 ulas bawang putih*
  • 3 ulas bawang merah*
  • halia*

Cara penyediaan

  1. Ayam dipotong sederhana kecil.
  2. Tumbuk kasar bahan bertanda (*).
  3. Perap ayam dengan bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Masukkan juga serbuk jintan putih. Perap ayam bersama bahan perapan selama ½ ke 1 jam.
  4. Masukkan minyak ke dalam kuali dan panaskan minyak. Setelah minyak panas, tumiskan rempah tumis, daun pandan dan daun kari.
  5. Masukkan cili kering yang telah dikisar dan biarkan seketika sehingga pecah minyak.
  6. Setelah pecah minyak,masukkan ayam yang diperap tadi, kicap manis secukupnya dan tomato puree. 
  7. Tambahkan sedikit air (½ cawan) dan tutupkan tudung periuk. Biarkan sehingga mendidih.
  8. Setelah mendidih, masukkan bawang besar, tomato, garam & gula secukup rasa.
  9. Apabila kuah telah pekat, boleh tutupkan api dan sedia untuk dihidang.
Ayam Masak Hitam

Resipi Ayam Masak Hitam yang saya kongsikan diatas sesuai untuk hidangan seramai 4 orang.

Jika anda nak masak seekor ayam, anda boleh gandakan sahaja sukatan dalam resipi diatas.

Komen dan Ulasan