Resipi Gulai Ikan Kering Kelantan

Harini terasa nak makan makanan yang simple, lauk kampung tapi sedap dan membuka selera? Jom kita masak Gulai Ikan Kering Kelantan.

Baru sebut nama pon dah kecur air liur saya. Hehe.

Gulai ikan kering dari Kelantan ni memang sangat sedap dan sangat unik rasanya kerana ada gabungan masin dari ikan kering, masam dari nenas dan lemak dari kuah santannya.

Memang gabungan yang sangat mantap untuk dimakan dengan nasi putih.

Masa memasak: 10 minit

Jumlah hidangan: 4 orang

Bahan-bahan

  • 3-4 ekor ikan kering
  • timun-dibelah kecil
  • 5-6 tangkai cili hijau
  • 1-2 keping nenas – dipotong dadu
  • santan secukupnya
  • garam
  • gula
  • perasa secukupnya

Bahan kisar

  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 3-4 tangkai cili kering
  • 1 tangkai cili merah
  • 2-3 tangkai cili padi
  • 2 inci kunyit segar
  • sedikit lengkuas

Cara Penyediaan

  1. Sediakan periuk dan masukkan santan dan bahan kisar ke dalam periuk.
  2. Buka api dan biarkan mendidih. Pastikan santan selalu dikacau bagi mengelakkan kuah berketul dan pecah santan.
  3. Kemudian masukkan ikan kering, hirisan nenas, lada/cili hijau dan timun.
  4. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa dengan secukupnya. Jangan letak garam terlalu banyak kerana ikan kering sudah masin.
  5. Asam keping juga tidak digunakan kerana nenas sudah memberikan rasa masam pada kuah.
  6. Biarkan gulai mendidih sekali lagi dan boleh padamkan api.
  7. Sedia untuk dinikmati.

Tips

Rendam dahulu ikan kering dalam air bersih sekiranya anda mahu kurangkan rasa masin pada ikan kering.

Pastikan sentiasa kacau kuah dan gunakan api sederhana kecil bagi mengelakkan pecah santan dan santan berketul-ketul. Rupa dan rasanya akan jadi tak menarik.

Resepi Gulai Ikan Kering

Gulai Ikan Kering ini tak berapa pedas, boleh dinikmati anak-anak juga.

Bagi anak-anak merasa sekali-sekala makan ikan kering pon seronok juga, kan?

Mengimbau kenangan orang tua kita dahulu melalui zaman susah, dimana ikan kering antara makanan harian mereka.

Semoga bermanfaat!

Komen dan Ulasan