Resepi Mee Hailam Special

Assalamualaikum. Hi apa khabar? Sehat selalu ye. Tengah cari-cari resepi ke? Nak makanan berat atau ke ringan? Makanan berat tu tak la selalunya nasi. Bagi penggemar mee, mungkin tak kisah apa jua resepi mee yang dihidangkan.

Mee boleh gantikan sumber pemasukan karbohidrat untuk tubuh kita. Jadi lepas makan mee, tak payah lah makan nasi lagi. Ada pula sesetengah orang memang tak boleh lepas langsung dari nasi.

Belum berjumpa nasi, belum lagi makan kata diorang. Tak lama lepas makan mee tu, diorang cari-cari nasi. Dah makan nasi, barulah kenyang, hehe.

Balek cakap pasal mee.

Biasa bila nak makan mee, kita selalu lah makan keluar. Kadang pula, pusing-pusing cari makan, duduk kat kedai makan. Tengok senarai menu, pilih-pilih nak makan apa. Terpandang Mee Hailam, barulah nak order Mee Hailam.

Entah berapa lama masa pula berjumpa lagi makan Mee Hailam.

Bila teringat nak makan Mee Hailam, korang masih pergi kedai makan? Tak boleh masak Mee Hailam sendiri?

Meh, kita kongsikan resepi Mee Hailam yang tak kalah sedap dengan rasa kat kedai makan korang hari tu, hehe. Jom layan resepinya.

Masa memasak: 15 minit

Jumlah hidangan: 4-5 orang

Bahan-bahan

  • 300 gm udang sederhana besar
  • 300 gm daging/isi ayam
  • 3 ekor sotong saiz besar
  • 1 peket fish ball
  • Sedikit sayur sawi
  • 1 batang carrot
  • 2 biji tomato
  • 1 paket mee kuning
  • 4 cawan air
  • 3 biji telur
  • 2 sudu besar tepung jagung – dibancuh dg air
  • Garam 
  • Daun sup
  • Cili merah 

Bahan kisar

  • 2 sudu besar cili
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih

Bahan untuk sos

  • 3-4 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • 1 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos ikan

Cara cara

  1. Panaskan sedikit minyak, kemudian tumis cili dan bawang kisar sampai pecah minyak. Masukkan ketulan isi ayam sehingga masak, kemudian masukkan air.
  2. Kemudian masukkan karot dan batang sawi, sampai kuah hampir mendidih. Kemudian masukkan semua sos cili, sos tiram, minyak bijan, kicap manis dan cair, sos ikan dan kacau rata.
  3. Masukkan pula udang dan sotong, kacau hingga rata. Perasakan kuah mengikut selera masing-masing. Apa-apa rasa kurang, boleh tambah. 
  4. Masukkan telur sebiji demi sebiji, hingga telur masak. Lepas tu masukkan sayur sawi dan tomato, kacau rata perlahan. (Opsyenal telur boleh dikeluarkan dari pada kuali sebelum memasukkan sayur-sayur, bagi mengelakkan telur hancur).
  5. Masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan sedikit air, untuk membuat kuah pekat, kacau rata. Perasakan kuah.
  6. Masukkan mee dan kacau rata. Biarkan kuah mendidih sekejap. Lepas tu tutup api.
  7. Dah boleh hidangkan mee ke mangkok-mangkok. Letakkan telur yang dikeluarkan tadi paling atas sekali, lepas tu tabur daun sup, cili merah dan bawang goreng.
Resepi Mee Hailam

Mee Hailam dah terhidang tu boleh langsung makan selagi hangat. Sebelum makan, jangan lupa baca bismillah, lepas tu hirup kuah siket 2-3 kali. Sedaaap, tak kalah dengan rasa kat kedai makan tu.

Bila ada anggota keluarga belum hendak makan masa tu, boleh asingkan mee dan kuah. Bila nak makan, celur mee dan tuang kuah.

Ini mengelakkan kuah menjadi terlalu kering dan mee terlalu kembang. Selamat mencuba.

Komen dan Ulasan